Nov
16
2008
0

PENGUMPULAN ZAMAN SAIDINA UTHMAN - LAGI THRILL!!

 

Saidina Uthman telah mengambil takhta pemerintahan Khalifah Islam dari tangan Saidina Umar yang telah wafat. Beliau amat menyedari tanggungjawab besar yang sedang dipikul. Setelah Saidina Umar meletakkan pemerintahan Islam di landasan yang betul, maka tugas Saidina Uthman ialah memastikan ia bergerak di landasan dengan betul-betul. Ditangannya Islam mula berkembang dan semakin meluas, dan ditangannya juga penuh dengan pengharapan yang besar. Walau bagaimanapun, tidak beberapa lama dalam pemerintahannya, kejadian yang menakutkan mana-mana pemerintah telah mulai tiba : kerusuhan sosial dan rasukan peperangan serta ketaksuban.

 

Peperangan yang berlaku sebenarnya telah membuka pintu beberapa masalah lain. Kali ini ia mula dikesan pada tahun kedua atau ketiga dari pemerintahan beliau, iaitu bermula pada tahun 25 hijrah. Walaupun semua umat Islam memegang akidah yang sama, tetapi wajah pengamalannya sudah agak berbeza. Pada zaman di mana Islam semakin meluas dan pengikutnya bertambah ramai, perbezaan bacaan Al-Quran semakin ketara. Bayangkan sahaja, penduduk negeri Syam, misalnya mengambil bacaan menurut kaedah sahabat Nabi seperti Ubai bin Kaab, manakala penduduk Kufah lebih sesuai dengan bacaan Abdullah bin Mas’ud, sementara yang lain lebih menggemari bacaan Abu Musa Al-Asy’ari. Begitulah terus-menerus, sehinggalah mereka bertemu dan berkumpul semasa memerangi negeri Armenia dan Azerbaijan, perbezaan ini telah bertembung dan mengakibatkan perselisihan yang dasyat. Kita mungkin boleh sahaja memahami perbezaan bacaan antara para sahabat kerana Al-Quran sendiri diturunkan mengikut 7 lahjah (dialek) yang berbeza. Tetapi tidak pada mereka. Masing – masing menegakkan bacaan kelompok masing-masing. Pada waktu ini, kelapangan hati sudah tidak diperdulikan. Perkataan diplomasi sudah tidak ada dalam kamus pemikiran mereka. Yang ada hanyalah bentakan-bentakan keras disusuli dengan caci-mencaci yang menyakitkan telinga, seterusnya mengundang api kemarahan.

 

Hero kita pada kali ini ialah Abu Huzaifah Al-Yamani. Beliau menyedari bahaya ‘api dalam sekam’ yang semakin merebak. Terfikir dihatinya, jika perkara ini dibiarkan, umat Islam mungkin berpecah-belah. Mungkin saja di tengah perang yang sedang berkecamuk itu, beliau masih memikirkan hal tersebut. Padahal anak panah melintas di antara kedua tangannya, diantara kedua telinganya.  Bagi beliau, perbezaan dialek bacaan itu akan menimbulkan masalah yang lebih besar dari peperangan yang sedang dihadapi.

 

Abu Huzaifah tidak menunggu lama. Usai saja perang, beliau terus mengadukan perkara itu Khalifah Uthman. Mungkin lebih kurang tuturnya “Wahai Amirul Mukminin, Buatlah sesuatu untuk umat ini sebelum mereka berselisih faham dengan lebih teruk sebagaimana yang telah berlaku di kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani !”.

 

Mungkin ketika itu terdetik di hati Abu Huzaifah, Saidina Uthman berhak untuk  percaya atau tidak, akan tetapi, dia mengetahui, itulah realiti yang sedang dihadapi. Bibit perpecahan mula melebar dan meluas. Sebelum ia menjadi barah yang merosakkan perpaduan umat Islam, sesuatu langkah perlu diambil oleh khalifah. Dan langkah ini perlu segera. Tidak selepas perang, tidak selepas sahabat pulang, apatah lagi ditangguhkan. Sekarang. Begitulah mungkin bisikan hati Abu Huzaifah.

 

Disebalik ketenangan dan kelembutannya mendengar kebimbangan tersebut, Saidina Uthman sebenarnya amat peka dan mengambil berat masalah ini. Beliau terus menerima cadangan bernas Abu Huzaifah dan memulakan kembali projek raksasa yang pernah dilaksanakan oleh Saidina Abu Bakar. Tetapi kali ini memakan tuntutan amanah yang lebih besar dan berat. Seperti biasa, ‘arkitek Al-Quran terulung’ – Zaid bin Tsabit dipilih untuk mengetuainya. Dan beliau ditemani oleh  jawatankuasa yang lebih berketerampilan, dengan kehadiran beberapa sahabat ‘pembantu arkitek’ seperti Abdullah bin Zubair, Said bin Al-As dan Abdul Rahman bin Harith untuk menyalin Al-Quran kepada beberapa mashaf.

 

Walaupun mereka menjadikan suhuf yang ditulis pada zaman Saidina Abu Bakar sebagai rujukan utama, tetapi masih ada alasan lain untuk berhati-hati. Perintah Saidina Uthman “Jika kamu berselisih pendapat dengan Zaid bin Thabit pada sesuatu dalam penulisan Al-Quran itu, maka tulislah menurut loghat Quraisy, kerana sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan menurut lidah mereka”. Begitulah antara lain pesanan Khalifah. Ternyata pesanannya benar. Khilaf dan perselisihan faham mula berlaku.  Kali ini, ia mengambil tempat pada perkataan ‘tabut’ di ayat 248, Surah Al-Baqarah. Menurut pendapat Zaid, huruf  Ta’ terakhir ditulis dengan Ta’ Marbutah,  (Ta’ simpul), sementara sahabat lain berpendapat sebaliknya. Ia lebih tepat ditulis dengan Ta’ Maftuhah (Ta’ terbuka). Akhirnya titah Khalifah telah dijunjung. Perkataan itu ditulis dengan Ta Maftuhah kerana begitulah bunyi bacaannya menurut loghat Quraisy. Begitulah keadaannya menurut riwayat yang telah diperturunkan.

 

Selepas melalui waktu yang cukup berat, tekanan dan sedikit kegelisahan, pada akhirnya, tugas ‘memindah gunung’ buat kali kedua itu selesai dilaksanakan. Zaid, sudah tentu pada kali ini boleh tersenyum lebar dan menghela nafas kepuasan. Beliau memang merasa tenang, kerana kali ini ia bukan ditulis sekali sahaja seperti sebelumnya, tetapi ditulis sebanyak 6 mashaf!  Setiap satu  darinya dihantar ke kota besar Islam sebagai panduan mashaf Al-Quran utama iaitu Basrah, Kufah, Syam, Mekah, Madinah dan senaskhah lagi yang digelar sebagai ‘Mashaf Imam’, berada dalam simpanan Khalifah. 

 

Sebagai langkah berhati-hati, setiap mashaf yang dihantar diiringi oleh ‘Tuan Guru’ yang berkaliber untuk mengajarnya. Abdullah bin Saaib menjadi tuan guru di Mekah, Mughirah bin Syihab mengiringi mashaf Syam, Abu Abdul Rahman As-Salami pergi bersama mashaf Kufah dan Amir bin Qais mendampingi mashaf ke Basrah. Sementara Zaid sendiri, akan menjadi mahaguru utama di Madinah Munawwarah.

 

Boleh kita bayangkan, bagaimana bahagianya Saidina Uthman apabila urusan itu dapat diselesaikan. Kebahagiaannya begitu terserlah kerana pada kali ini, poses penulisan itu mendapat restu dan pengiktirafan dari lebih 12,000 para sahabat. Mungkin juga Saidina Uthman merasa amat lega kerana beliau berjaya melaksanakan tanggungjawab yang sangat penting, masalah yang jika tidak diselesaikan, akan mengakibatkan dosa yang tidak pernah  dimaafkan : perpecahan umat Islam. Dan Saidina Uthman kini, mampu bersemadi sambil tersenyum, mengadap Tuhan dengan damai, walaupun kematiannya berlangsung secara agak tragis : pembunuhan. Malaikat akan tetap menyampaikan pahala ‘amal jariah’nya selagi umat Islam membaca Al-Quran Resam Uthmani – jolokan kepada pengasasnya.

 

SETERUSNYA…

 

Begitulah seterusnya Al-Quran telah kekal bersama manusia hingga ke hari ini. Bagi sekitar 1.4 bilion pengikutnya, Al-Quran terus menjadi pusat ledakan utama kebijaksanaan Tuhan, sumber utama kesucian tertinggi, dan keindahan ungkapan yang terbaik, di mana ia mampu mengarah, melembutkan, menghilangkan kegelapan dan memimpin keseluruhan pengikutnya. Dan secara pasti, Al-Quran juga mengalami sedikit proses evolusi dengan beberapa penambahan yang diwajarkan seperti tanda mad, baris, harkat, tanda waqaf dan saktah, pembahagian juz sehinggalah yang terkini, ditandakan dengan kod warna bagi mengenali sebahagian hukum tajwidnya. Bagi saya, ini adalah contoh terkuat bagaimana Al-Quran memiliki ruang tersendiri dalam hati nurani manusia. Dan ia akan tetap memainkan peranannya sebagai kitab yang memasuki ruang-ruang pengharapan dan misteri yang tidak mampu dijawab oleh akal dan kebijaksanaan manusia.  Jawapan penyelesaiannya akan terus diikuti, dicintai dan didampingi umat Islam keseluruhannya.

 

Written by admin in: Uncategorized |
Nov
16
2008
0

PENGUMPULAN QURAN ZAMAN SAIDINA ABU BAKAR

 

Zaman Saidina Abu Bakar dimulai dengan kejadian huru-hara dan murtad di sana-sini. Sesetengah umat Islam yang imannya lebih nipis dari kulit bawang mudah terkoyak dan dicarik imannya. Sekumpulan kecil lain melangkah lebih jauh dari itu, menggelar diri sebagai ‘rasul baru’. Wira yang tidak diundang ini tentulah Musailamah Al-Kazzab ‘si penipu’. Gelarannya saja membuatkan dirinya dipenuhi celaan dan mengundang permusuhan umat Islam. Maka Saidina Abu Bakar tidak menunggu lama. Perang Yamamah diisytiharkan. Bangkitlah beribu-ribu umat Islam yang dadanya berkobar-kobar dengan semangat untuk mempertahankan Islam menyahutnya. Mungkin juga mereka ternampak peluang ‘syahid’ – mendapat tiket syurga secara percuma dengan pelepasan ruh suci dari tubuh ke langit kerana niat syahid telah menciptakan semangat  suci, semangat yang diberkati Allah sendiri.

 

Secara pasti untuk disebutkan disini, Musailamah Al-Kazzab dan pengikutnya berjaya dihapuskan. Pemberontakan telah dipatahkan dengan jayanya. Tetapi umat Islam terpaksa membayar harga yang agak mahal. Puluhan sahabat, dikatakan seramai 70 orang yang kesemuanya hafaz Al-Quran, gugur syahid dalam pertempuran itu. Maka Saidina Umar, menyedari sesuatu buruk akan berlaku jika ramai penghafaz Al-Quran gugur di medan-medan perang seterusnya. Masa depan Al-Quran sedang berada di hujung tanduk. Beliau  menghadapi satu cabaran utama yang menuntut kebijaksanaan yang amat tinggi, dan sebagai seorang yang kepintarannya diiktiraf Tuhan, beliau mengesyorkan kepada Saidina Abu Bakar agar Al-Quran dikumpulkan.

 

Ketika ini, Saidina Abu Bakar sedang dihadapkan pilihan yang sulit : membukukan Al-Quran atau tetap berpegang pada warisan rasul. Dan Saidina Umar sudah menjangkakan, cadangannya tidak akan mendapat persetujuan mudah seperti yang dijangka. Saidina Abu Bakar sangat bimbang dan kebimbangan itu sebenarnya mempunyai alasan. “bagaimana kita hendak membuat sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah?” Beliau menyanggah Saidina Umar. Tetapi Saidina Umar, yang terkenal dengan ketegasannya, tetap bertenang. Kali ini, gelaran Al-Farouq yang disandang, bermakna pemisah antara hak dan batil lebih menguasai dirinya. Beliau lantas meyakinkan sang Khalifah : itulah realiti yang sedang berbicara. Dikala menghadapi situasi sukar seperti peperangan ini, kita terpaksa membuat keputusan-keputusan sukar membukukan Al-Quran untuk mengelakkan akibat yang lebih sukar kemudian hari.

 

Akhirnya, kedua sahabat  besar ini bersetuju. Mereka lantas  bersepakat membentuk satu ‘jawatankuasa’ yang diketuai oleh Zaid bin Tsabit untuk dalam rangka melaksanakan tugas suci dan besar itu. Pemilihan Zaid sebagai ’pengerusi’ amat tepat. Dalam diri Zaid, Khalifah melihat iman dan komitmen keIslaman yang tinggi, penghayatan Islam yang amat mendalam, serta penguasaan ilmu penulisan ayat Al-Quran yang begitu sempurna yang memungkinkan beliau dianggap sebagai ’the right man’ untuk mengetuai projek raksasa itu. Dan sebagai bonus tambahan, Zaid juga mengiringi Rasul dalam pertemuan terakhir bersama Malaikat Jibril untuk menyemak bacaan Al-Quran.

 

Zaid, ketika menerima tugasan membukukan Al-Quran merasa sangat berbesar hati, seolahnya bagai menerima anugerah dari langit. Tetapi selepas beberapa ketika, Zaid merasakan ia begitu berat. Bahkan sangat berat. Perasaan sukar itu bergema begitu kuat dalam dirinya sehingga terkeluarlah kata-kata : “Demi Allah, jika engkau menyuruhku untuk mengalihkan gunung, kurasakan ia lebih mudah dari menulis dan membukukan Al-Quran”. Zaid menyedari hakikat ini. Ia adalah projek raksasa berbentuk amanah, satu amanah yang jika diletakkan pada langit, bumi dan gunung pun, tidak ada yang sanggup memikulnya, Mungkin ketika itu, suara amaran Al-Quran jelas terngiang-ngiang :

 

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil.

Surah Al-Ahzab, 72

 

Kemudian, dengan beberapa sesi perbincangan yang agak panjang dan sedikit diplomasi, Allah telah membuka hati Zaid untuk menyanggupinya. Beliau sedar, cadangan ini  datangnya dari seorang Khalifah yang hatinya dipenuhi dengan kecintaan kepada Allah. Dan akhirnya, demi ketaatan kepada Khalifah, dan – ini alasan sebenarnya – demi kelangsungan ’masa depan’ Al-Quran, Zaid telah memulakan tugasnya dengan begitu teliti, menjadikan iman sebagai pedoman dengan tidak mencampurkannya bersama urusan ’nafsu’, serta keazaman untuk melaksanakannya sesempurna mungkin dengan tidak membuat kerja ’asal boleh’.

 

 

PROJEK YANG LEBIH SUKAR DARI ’MENGALIH GUNUNG’ BERMULA.

 

Maka Zaid, dengan bantuan Khalifah mula mengumpulkan segala catatan Al-Quran temasuk yang dihafaz sahabat. Saidina Abu Bakar pula memerintahkan  seluruh kaum muslim untuk membawa naskah tulisan ayat Al-Quran yang mereka miliki ke Masjid Nabawi untuk diteliti oleh Zaid dan jawatankuasanya. Dalam hal ini, Zaid telah menegaskan, beliau tidak akan menerima satu ayat kecuali setelah memenuhi dua syarat:

1 : Ia harus sesuai dengan hafazan para sahabat.

2 : Tulisan tersebut benar-benar ditulis atas perintah dan di hadapan Rasulullah.

Sebagai langkah ketelitian, untuk membuktikan syarat kedua tersebut, ia harus berdasarkan dua orang saksi yang sangat dipercayai. Proses pengumpulan ini pada mulanya berjalan lancar. Tetapi seperti biasa, kesulitan tetap muncul di tengah jalan. Kali ini datangnya dari ayat 128, Surah At-Taubah. Hampir majoriti sahabat, termasuk Zaid sendiri menghafaznya. Beliau pasti akan hal itu. Tetapi ia tidak ditemukan pada mana-mana tulisan yang ada pada waktu tersebut. Pada saat yang begitu merisaukan itu menyelubungi perasaan setiap yang berada di kota Madinah, penyelamat yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Ayat yang berbunyi ‘Laqad ja’akum Rasul min anfusikum ‘azizun ‘alaihi ma ‘anittum harisun ‘alaikum bil mu’minina Ra’uf al-rahim’  itu telah ditemukan pada tulisan sahabat yang bernama Abu Khuzaimah Al-Ansari. Suasana cemas itu telah hilang digantikan dengan helaan nafas kelegaan. Senyuman dan teriak kesyukuran lantas bergema di mana-mana.

Demikianlah, Al-Quran telah dibukukan dan dikenali sebagai ‘suhuf’. Dan tentunya manusia yang paling gembira pada waktu tersebut ialah Zaid, kerana tugas berat ‘yang lebih sukar dari mengalih gunung’ telah berjaya dilaksanakan. Ia bukan sahaja menghasilkan satu Al-Quran yang dikumpulkan, tetapi ia juga adalah gambaran kepuasan hati, komitmen tinggi, titik peluh dan juga hasil usaha yang bertungkus-lumus. Al-Quran itu telah disimpan oleh Saidina Abu Bakar sepanjang pemerintahannya, dan apabila beliau wafat, ia telah disimpan oleh Khalifah kedua, Saidina Umar Al-Khattab. Apabila giliran beliau pula dijemput bertemu Tuhan, ia telah beralih ke dalam simpanan anaknya, Hafsah binti Umar. Kita akan menyambung lagi perkembangan cerita menarik ini pada masa Saidina Uthman Al-Affan.

Written by admin in: Uncategorized |
Nov
16
2008
0

BAGAIMANA IA DIKUMPULKAN – MENELUSURI SEJARAH AL-QURAN

 

 

 

Selama ini, kita sudah mengenal sejumlah cerita Rasulullah yang sudah menjadi lagenda : Kisah Al-Quran pertama kali ’menjejakkan kaki’nya di Gua Hira’ hinggalah ayat terakhir yang turun dengan diiringi tangisan kesyukuran : tanda sempurnanya satu anugerah dari langit ke bumi. Dan pada kali ini, kita akan memperdalaminya dengan menjejaki semula sejarah pengumpulan Al-Quran. Sejarah pengumpulan ini sebenarnya amat penting. Ia boleh saja dijadikan sebagai guru terbaik, kerana ia mengingatkan kita bahawa yang pahit mungkin sahaja ubat antibiotik, tetapi ia mampu menjadi penyembuh yang mujarab. Mungkin juga pada sesetengah kejadian, ia menjadi aliran waktu yang mampu menjangkau ke kawasan yang paling terjauh. Itulah antara kelebihan sejarah : perakam kisah ummah. Untuk memudahkan kita memahaminya, saya mengajak anda menoleh semula ke zaman sebelum hijrah, untuk mengalami sendiri kesedaran masa lalu, seterusnya menghayati kesukaran dan keazaman Rasul menerima dan mengumpulkan Al-Quran, sehingga ia sampai ke tangan kita setelah melalui jarak masa yang cukup panjang.

 

Dan disini akan berlegar tiga nama besar – Saidina Abu Bakar As-Siddiq, khalifah Islam pertama, sahabat terdekat nabi yang begitu pintar dalam memperkuatkan Islam, Saidina Umar Al-Khattab, seorang di mana tiket syurga didalam genggamannya, sering menampilkan kuasa karisma kepada para penakjub beliau, dan Saidina Uthman Al-Affan, yang tidak asing lagi dalam usahanya mengumpulkan Al-Quran, menjadikan nama beliau sinonim hingga ke hari ini : Mashaf Resam Uthmani. Termasuk juga nama yang wajib disebut apabila membicarakan sejarah agung pengumpulan Al-Quran ialah Zaid bin Tsabit, penulis wahyu utama, di mana dari kesungguhan dan ketelitiannya, mengalir kebijaksanaan Al-Quran dari satu generasi ke generasi hingga sampai kepada kita.

 

Kita akan menghayatinya satu persatu, ditandai dengan zaman Rasulullah, sehinggalah ia sempurna di dalam satu mashaf yang diiktiraf pada zaman Saidina Uthman.

 

ZAMAN RASULULLAH – BERMULANYA ERA BARU.

 

Perjalanan meneliti sejarah agung, bagaimana Rasulullah berjaya ‘memasyarakatkan Al-Quran dan meng’Quran’kan masyarakat’ dimulakan dengan berpandukan ayat ini :

 

Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah . Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.
Surah Jum’ah, 2

 

Al-Quran mula diturunkan ketika baginda berusia 40 tahun. Bagaimana? : Sedikit demi sedikit. Tempoh :  selama 23 tahun. Keadaan peristiwa : berdasarkan kejadian dan keperluan,  situasi dan keadaan, soalan yang ditanyakan kepada nabi serta keraguan yang ditimbulkan oleh musuh Islam. Di sebalik semua itu, visi utama Al-Quran ialah sebagai gema Tuhan berbentuk pedoman, guna untuk menguatkan akidah muslim dan syariatnya, selain misi utama –  mentarbiah ummah.

 

Berdasarkan fungsi tersebut, maka tidaklah menghairankan apabila ia diturunkan secara beransur-ansur. Perumpamaan berikut mungkin boleh juga menggambarkan kewajarannya. Al-Quran adalah umpama ‘perhiasan’ yang begitu bergemerlapan. Melihat “barang cantik” dalam jumlah yang banyak dan sekaligus, kadang-kala dapat menghilangkan pesona barang-barang tersebut. Kecantikan, sebenarnya perlu dinikmati secara ‘satu persatu’. Barangkali, kerana itulah wahyu “diturunkan” kepada Rasulullah secara beransur-ansur. Wahyu yang datang ‘menggelongsor’ secara pukal, sudah pasti akan membuatkan hilang daya tarik dan daya pikatnya.  

 

Pada waktu itu, Rasulullah menghafaznya dan para sahabat juga demikian. Baginda juga menyuruh beberapa sahabat untuk menulisnya dengan beberapa arahan seperti yang terakam dalam hadis “Letakkan surah sekian disebelah surah sekian dan ayat sekian selepas ayat sekian”. Begitulah seterusnya proses itu berjalan lancar. Dengan segala kehebatan penurunannya, proses penulisan itu dibuat secara sangat sederhana. Ada antara sahabat yang menulisnya pada kulit binatang, kepingan batu, pelepah kurma, perca dan juga tulang haiwan. Bayangkan tahap kesukaran untuk ‘membaca’ Al-Quran pada waktu tersebut, zaman di mana komputer dan mesin taip masih belum diciptakan walaupun di dalam mimpi. Mungkin saja ayat 50 Surah Ali-Imran tertulis di pelepah kurma sementara sambungannya di kepingan batu!

 

Sebagai kesimpulan, penulisan Al-Quran pada zaman nabi telah tertulis semuanya, tetapi ia masih  berselerak dan tidak dikumpulkan pada satu mashaf. Tetapi nabi tidak risau hal ini kerana ramai sahabat yang menghafaznya, ditambah lagi dengan situasi ayat Al-Quran  yang masih turun.  Ia juga merupakan satu hikmah, kerana walaupun mereka digelar ‘masyarakat buta huruf’ seperti pada ayat di atas, tetapi mereka mempunyai daya ingatan yang amat tinggi. Maka apabila Al-Quran turun pada masyarakat berlabel sedemikian, nilai ‘kemukjizatannya’ akan semakin ketara.

 

Yang pasti, untuk menambahkan lagi keyakinan nabi, baginda akan kembali bertemu ‘mahaguru’nya – Malaikat Jibril untuk menyemak bacaan Al-Quran. Ia dilakukan sekali pada setiap tahun kecuali pada ‘Urdatul Akhirah’ – pertemuan terakhir sebelum baginda wafat di mana ia telah diadakan sebanyak dua kali, dengan Zaid Bin Tsabit hadir pada semakan terakhir tersebut.

Written by admin in: Uncategorized |
Nov
16
2008
0

ASBABUN NUZUL – ILMU UTAMA UNTUK MEMAHAMI TAFSIRANNYA.

 

Mungkin sebilangan anda tertanya-tanya, adakah ayat-ayat Al-Quran yang turun beransur-ansur itu turun begitu sahaja tanpa sebab atau peristiwa tertentu? Sebenarnya, sebahagian ayat Al-Quran akan melalui beberapa peristiwa atau sebab untuk menjadikannya sah dan sesuai ketika diturunkan. Walaupun sebahagian besar dari ayat Al-Quran diturunkan secara umum, iaitu tanpa sebarang sebab atau peristiwa, tetapi ada juga yang mengalami sebab-sebab khusus ketika penurunannya.

 

Dalam kehidupan para sahabat bersama Rasulullah, ia telah merakamkan beberapa peristiwa penting, bahkan ada diantara peristiwa itu memerlukan penjelasan khusus dari Allah untuk menjelaskannya. Ada juga diantara mereka bertanya kepada Rasulullah tentang hukum-hakam Islam, maka Allah menurunkan wahyuNya sebagai jawapan. Peristiwa-peristiwa seperti inilah yang dikenali sebagai Asbabun Nuzul, atau kata mudahnya bermaksud sebab-sebab penurunan ayat Al-Quran.

 

 

MENGAPA ANDA PERLU MENGETAHUINYA?

 

Saya memberikan jawapan mudah : supaya anda lebih mudah memahami tafsiran ayat Al-Quran dengan tepat. Saya akan membawakan satu contoh disini supaya anda lebih jelas mengetahuinya. Kita akan memahaminya melalui firman Allah ini :

 

Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka kemana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah …. Surah Al-Baqarah, 115

 

Sekali imbas, ayat ini mengharuskan kita mengadap ke mana-mana arah ketika hendak solat. Jika anda memahaminya tanpa berpandukan Asbabun Nuzul, anda tentu akan tersilap besar. Solat anda bakal tidak akan diterima, kerana salah satu dari syarat sah solat ialah mengadap kiblat.

 

Ternyata setelah memahaminya melalui Asbabun Nuzul, nampaknya ayat ini hanyalah diturunkan kepada mereka yang bermusafir. Mungkin didalam perjalanannya, mereka tidak mengetahui arah kiblat yang tepat, dan terpaksa berijtihad sendiri untuk menentukannya. Maka dalam hal ini, ke mana juga arah mereka, ia dikira sebagai arah kiblat, dan solatnya diterima. Ringkasnya, ayat ini tidak bersifat umum, tetapi hukumnya hanya khusus diaplikasikan pada situasi mereka yang tidak mengetahui arah kiblat ketika sedang bermusafir.

 

 

ANTARA CONTOH MUDAH MENGENAI ASBABUN NUZUL :

 

Anda tentu menghafaz Surah Al-Masad, bukan? Surah yang dimulai dengan ‘Tabbat Yadaa Abii Lahabiw Watabb’ ini sering menjadi surah pilihan utama untuk dibaca dalam solat. Tetapi tahukah anda, surah ini sebenarnya mengandungi kecaman dan kemarahan Allah yang tidak terhingga terhadap Abu Lahab, sehinggakan, dia menjadi satu-satunya manusia yang dijamin masuk neraka! Dan jaminan ini pula diketahui ketika dia masih hidup! Sangat malang, tragis dan merana sekali hidupnya. Dikecam didunia, tidak diterima lagi taubatnya, dan ‘comfirm’ masuk neraka di akhirat kelak. Anda ingin mengetahui Asbabun Nuzul bagaimana Abu Lahab mendapat penghinaan yang tidak terhingga ini ? Begini kisahnya :

 

Dalam satu hari yang tenang, Rasulullah telah menerima wahyu yang membawa perintah yang cukup mulia, iaitu arahan untuk menyebarkan Islam secara terang-terangan. Jika sebelum ini, ia disebarkan secara senyap-senyap, nampaknya ayat 214 dari surah As-Syuara’ yang bermaksud ‘Dan berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat’  ini telah memberikan mesej jelas : Perkenalkan ajaran kebenaran itu ke seluruh pelosok dunia ! Dan ia dimulai dengan sanak saudara, ipar duai serta kerabat terdekat Rasulullah dahulu.

 

Ketika ini, Rasulullah dengan wajah yang berseri-seri pergi memanjat Bukit Safa untuk membuat satu pengumuman penting buat kaumnya. Bagi mereka yang pernah menunaikan haji atau umrah di Makkah, anda tentu mengetahui letaknya bukit yang pernah dipijak tanahnya oleh kaki Rasulullah yang mulia. Setelah sampai ke puncaknya yang tidak begitu tinggi itu, Rasul pun memulakan ucapannya, ditujukan khas kepada kaum kerabatnya yang sedang berkumpul beramai-ramai di hadapan Kaabah, tidak jauh dari situ.

 

‘Wahai kaumku sekelian!’ teriak Rasulullah. Kaumnya yang sedang dipenuhi dengan perasaan ingin tahu itu terus mendekati Baginda. Ketika itu, Rasulullah memang memiliki tarikan kuat umpama ‘magnet’ kepada mereka. Memang hidupnya begitu, umpama magnet kebenaran yang begitu kuat dan berkuasa, sehingga gelaran ‘Al-Amin’ yang membawa maksud ‘yang paling dipercayai’ disandang oleh Baginda.

 

Menyedari taktik Baginda sudah mengena, Rasulullah meneruskan lagi “bagaimana pendapatmu semua jika aku memberitahu kamu bahawa terdapat sepasukan musuh berkuda yang ingin menyerangmu disebalik bukit ini, percayakah kamu terhadap kata-kataku ini?”

 

Bagi penduduk Mekah yang memang mengenali hati budi Baginda, mereka tanpa ragu-ragu lagi  menjawab ‘kami memang tidak pernah mendapati kamu berdusta’. Kepercayaan mereka itu terus disambut dengan seruan Nabi ‘aku memperingatkan kepada kamu akan azab yang pedih’. Ternyata, Rasulullah mampu menguasai suasana hari itu hanya dengan beberapa patah perkataannya.

 

Tetapi, kegembiraan itu tidak lama berkekalan. Disaat sebahagian besar yang lain sedang mula terbuka hati kepada ajakan itu, Abu Lahab, seorang pemuka Quraisy, ketua ‘gangster’ besar Mekah telah melakukan perkara yang menukarkan suasana ceria kepada tegang. Abu Lahab bukan tidak menyedari kebenaran Nabi Muhammad itu, tetapi memang menjadi lumrah hidup, apabila emosi dan kesombongan mengambil tempat, manusia yang rasional mudah sahaja menjadi emosional. Ternyata, Abu Lahab yang sejak dahulu amat tidak menyukai Rasulullah menunjukkan tanda kemarahannya yang begitu membara. “Celakalah engkau, apakah engkau mengumpulkan kami hanya untuk urusan ini?  Nabi Muhammad nyata terdiam. Diamnya bukanlah bermaksud ketakutan, tetapi pada waktu itu juga turunnya ayat untuk membalas kembali kutukan Abu Lahab. Bagi kita semua, Allah telah mewahyukan kepada Rasul jawapan kepada celaan Abu Lahab. Itulah surah Al-Masad yang bermaksud :

 

Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dan  isterinya, pembawa kayu api. Di lehernya ada sejenis tali dari tali yang dipintal. (Surah Al-Masad, ayat 1-5)

 

 

BAGAIMANA CARA UNTUK MENGETAHUI KESELURUHAN ASBABUN NUZUL?

 

Mudah sahaja. Ia banyak dinyatakan dalam tafsir-tafsir yang muktabar. Bahkan terdapat sebilangan ulama yang mengarang kitab-kitab khusus untuk mengumpulkan Asbabun Nuzul sahaja. Antara yang selalu menjadi rujukan ialah :

 

1 : Asbabun Nuzul, karangan Al-Wahidi (M 427H)

 

2 : Asbabun Nuzul karangan Ibnu Hajar Al-Asqolani (M 852H)

 

3 : Lubab Al-Manqul Fi Asbab An-Nuzul, karangan Imam As-Suyuti (M 911H)

 

Untuk menambahkan keceriaan anda bagi memahami Asbabun Nuzul ini, saya ingin menyatakan, kitab berbahasa arab ini, terutamanya kitab yang ketiga sudah ada diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Kini, anda hanya perlu mendapatkannya di kedai berhampiran. Dan mudah-mudahan, dengan memahami Asbabun Nuzul, anda akan lebih mudah memahami kandungan serta peta keseluruhan bacaan wajib ‘akhbar harian’ anda, itulah dia : Al-Quran Al-Karim.

Written by admin in: Uncategorized | Tags:
Nov
16
2008
0

BAGAIMANA NABI MENERIMA WAHYU?

 

Baginda Rasulullah memperolehi wahyu melalui 3 cara iaitu :

 

1 : Melalui Malaikat Jibril yang datang menemui Rasulullah dalam bentuk rupanya yang asli. Contohnya ketika pertama kali Malaikat Jibril menyerlahkan rupanya yang sebenar dihadapan Rasulullah di Gua Hira’. Kehadirannya bukan sahaja menghadirkan kejutan yang begitu menggemparkan, bahkan mencetuskan sedikit rasa gementar dengan debaran yang hebat kepada Rasulullah. Bayangkan sahaja, ketika anda keseorangan, tiba-tiba anda didatangi makhluk yang sangat pelik dan luarbiasa, tidak pernah dilihat sebelumnya. Ditambah lagi dengan kehadirannya hujung bukit, sangat jauh dari manusia.

 

Tenyata, ‘lawatan mengejut’ Malaikat Jibril itu telah menjadi satu titik tolak dalam kehidupan Nabi. Melalui ayat Iqra’ yang telah diterima, Rasulullah mula melihat dirinya tidak lagi sebagai seorang manusia biasa, bahkan telah dilantik secara formal untuk menjadi Rasul- utusan Tuhan menyebarkan kebenaranNya.

 

2 : Ada juga, kadang-kala, Malaikat Jibril datang menemui Baginda dengan menyamar atau menyerupai bentuk manusia biasa. Pernah satu ketika, dalam hadis yang amat panjang mengenai Islam, Iman dan Ihsan, Malaikat Jibril datang, berpakaian serba putih, mengajarkan Nabi mengenai ketiga-tiga tonggak agama itu. Bahkan Aisyah, isteri Rasulullah sendiri pernah menyatakan salah satu pengalamannya, melihat sendiri detik yang begitu berharga itu : Aku pernah melihat tatkala wahyu sedang turun kepadanya pada satu hari yang amat dingin, Lalu malaikat itu pergi, sedangkan peluh mencucur deras dari dahi Rasulullah. Riwayat Bukhari.

 

3 : Nabi tidak dapat melihat Malaikat Jibril ketika menerima wahyu, tetapi Baginda menyedari kehadirannya melalui bunyi seperti  suara lebah dan bunyi loceng. Wahyu yang diterima dalam keadaan begini dikira amat berat bagi Nabi sehinggakan Baginda menitiskan peluh yang banyak, walaupun cuaca pada waktu itu amat sejuk. Dinyatakan, apabila wahyu dalam bentuk ini turun kepada Rasul, Baginda terpaksa mengumpulkan segala kekuatannya untuk menerima, menghafaz dan memahami wahyu tersebut. Keadaan ini dirasakan begitu berat, kerana Rasulullah terpaksa menyesuaikan keadaan rohaninya supaya seimbang dengan tingkat kerohanian malaikat, dan juga dengan wahyu yang sedang diterima.

 

Ketiga-tiga bentuk penyampaian wahyu di atas akan berlaku berkali-kali dalam hidup Baginda hingga selesai kesemua ayat Al-Quran diturunkan. Walaupun sesetengah dari ayat itu diturunkan dalam keadaan yang selalunya tidak dapat dijangka dan diselangi dengan beberapa kejutan, tetapi ia lebih kepada satu hadiah kegembiraan yang amat besar buat Rasul.

 

Selama 23 tahun proses itu berlangsung, hati Rasulullah semakin lama, makin terang bercahaya tahap kerohaniannya. Jika sebelum ini, kedatangan Malaikat Jibil disambut dengan ketakutan, kini kedatangannya sudah menjadi proses yang lazim dan semakin dirindui. Saat-saat yang penuh dengan peristiwa spiritual itu telah membuatkan Rasulullah benar-benar ‘mabuk kepayang’ kepada Allah. Dan segala peristiwa aneh, berat dan tidak diduga ini sebenanya dilihat sebagai satu isyarat bahawa Allah sedang mempersiapkan diri Rasulullah untuk menjadi utusan dan pejuang di jalan-Nya.

Written by admin in: Uncategorized |
Nov
16
2008
0

BAGAIMANA IA DITURUNKAN ? HAYATI DETIK PENURUNAN AL-QURAN.

 

 

Bagi sebilangan besar umat Islam, Al-Quran telah menjadi ‘suratkhabar harian’ yang wajib dibaca setiap hari. Mereka akan memulakan kehidupan seharian dengan menangkap dahulu ‘pesan Tuhan’ sebelum ‘pesan manusia’ dibaca. Manusia nampaknya amat memerlukan wahyu untuk menyiram jiwa yang sentiasa haus dengan nilai-nilai luhur. Ayat-ayat Al-Quran, jika dibaca dengan bahasa hati, mampu membersih dan memberikan kesegaran kepada rohani, kerana jiwa, sama juga seperti iman, mempunyai banyak tingkatan dan tahap yang berbeza-beza. Ada yang jernih dan sangat putih bersih, manakala yang lain ada yang agak kotor dan kelam keadaannya.

 

Ada juga yang lebih teruk, jiwanya telah mati dan keras, sehingga tidak dapat lagi menangkap segala pesan kebaikan. Tompokan karat telah menembus masuk kedalam jiwanya, sehingga tidak ada lagi cahaya gemerlapan didalamnya. Maka ketika ini Al-Quran akan mengambil peranan bagi membersihkan segala karat kotoran itu. Berdasarkan fungsi itulah, Turunnya Al-Quran yang direka khusus untuk manusia sebenarnya merupakan satu peristiwa yang paling besar pernah berlaku di langit dan juga bumi. Dan sepanjang lebih 1427 tahun semenjak Al-Quran diturunkan, ia telah menghasilkan berbagai peristiwa hebat, dengan kehadirannya telah banyak mencorakkan kehidupan, dan juga pemikiran manusia.

 

 

PENURUNAN WAHYU YANG MEMERANJATKAN SEGALA KEHIDUPAN.

 

Tahukah anda bagaimana suasana ketika wahyu mula dinyatakan Tuhan? Keadaannya cukup dasyat dan menggemparkan. Langit bergoncang kuat disebabkan ketakutan yang tidak pernah dirasakan sebelum itu. Para malaikat yang selama ini aman tenteram tiba-tiba memukul-mukulkan sayapnya, mungkin kerana terpengaruh dengan peristiwa luabiasa yang sedang terjadi.  Penghuni langit pula lebih hebat keadaannya, ada yang pengsan, manakala yang lain terus sujud dalam keadaan menggigil, takut kepada yang Maha Esa. Yang pertama kali diberikan peluang mengangkat muka hanyalah Jibril, ketua malaikat.  Nampaknya, wahyu telah menyebarkan satu kuasa yang amat hebat kepada mereka.

 

Ketika itu, Allah telah menunjukkan antara koleksi kehebatan kekuasaanNya dengan caraNya tersendiri, cara yang dianggap sangat misteri bagi makhlukNya. Penurunan wahyu yang dimulai dengan peristiwa yang sangat mengkagumkan ini sebenarnya amat penting untuk menyerlahkan kehebatan Al-Quran selaku sebuah kitab yang bakal menguasai seluruh dunia.

 

Anda juga sedia mengetahui, Rasulullah bukanlah manusia pertama menerima wahyu. Bahkan sebelum ini utusanNya yang lain pernah menerima perkara yang sama. Nabi Daud dengan Zaburnya, Nabi Musa dengan Tauratnya dan Nabi Isa dengan Injilnya. Masing-masing menerima wahyu berbentuk perintah tertentu untuk dilaksanakan, khusus untuk umat dan kaum masing-masing.

 

Maka pada kali ini, saya akan menggambarkan serba-sedikit tentang cara wahyu diturunkan, keadaan Rasulullah ketika menerimanya, dan fakta mengenai Asbabun Nuzul secara sepintas lalu. Sebenarnya, penulisan bab ini, jika diperincikan, akan dipenuhi dengan teori ilmiah dan istilah yang sangat teknikal. Tetapi saya akan memudahkan anda dengan tidak memasukkan segala perkara tersebut. Dan jika anda ingin memahaminya dengan lebih mendalam, terdapat sejumlah koleksi buku-buku yang sedia membincangkannya, akan saya nyatakan pada akhir bab ini.

 

 

GAYA PENURUNAN AL-QURAN

 

1 : Untuk pengetahuan anda, ketika pertama kali Al-Quran diturunkan, ia dimulai dengan pengumpulan secara sekaligus. Allah dengan segala Maha KekuasaanNya, telah menurunkan, dan mengumpulkan keseluruhan Al-Quran di Luh Mahfuz, iaitu satu tempat yang amat mulia dan suci. Tempat di mana manusia sendiri tidak dapat membayangkan akan kehebatannya melalui akal fikiran. Ternyata ketika ini, Allah sejak awal lagi telah menunjukkan kemutlakan kebijaksanaanNya, dengan menentukan segala apa yang tercatat disitu akan benar-benar berlaku. Kepada kita, keyakinan akan kemuliaan Al-Quran di Luh Mahfuz dinyatakan begitu jelas sekali dalam FirmanNya yang bermaksud : 

 

Bahkan ia adalah Al Qur’an yang tertinggi kemuliaannya, (lagi terpelihara dengan sebaik-baiknya) di Luh Mahfuz. (Surah Al-Buruj, ayat 21-22)

 

2 : Langkah penurunan kedua ialah, ia diturunkan secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia, pada malam yang penuh dengan kemuliaan, iaitu Malam Lailatul Qadar di bulan Ramadan.

 

Nampaknya, penurunan Al-Quran yang pertama kali pada malam Lailatul Qadar sebenarnya lebih merupakan satu ‘pengumuman awal’ kepada semua penduduk langit akan kehebatan dan kemuliaan Nabi Muhammad. Ketika ini juga, segala penduduk langit menyedari, bahawa Allah telah meninggikan martabat penduduk dunia dengan turunnya Al-Quran yang begitu sangat mulia itu. Ia memang merupakan hadiah yang paling sempurna bakal dikurniakan kepada Baginda Rasulullah. Hadiah itu pula, diturunkan pada malam dan bulan yang teramat istimewa. seperti yang dicatatkan dalam maksud ayat dibawah ini :

 

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk dan pembeza – Surah Al- Baqarah, 185.

 

Sesungguhnya, kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah itu Lailatul Qadar. Ia lebih baik dari 1000 bulan. Surah Al-Qadar, 1-3.

 

3 : Ia kemudiannya diturunkan beransur-ansur kepada Rasulullah melalui perantaraan Malaikat Jibril. Selepas melalui 2 peristiwa hebat di atas, Al-Quran tidak diturunkan secara spontan begitu sahaja kepada Baginda Rasul. Ia diturunkan sedikit demi sedikit, ditandai dengan menjelmanya Malaikat Jibril dihadapan Rasulullah di Gua Hira’, tepatnya ketika Baginda berusia 40 tahun. Bagi kita semua, Ibnu Abbas menyatakan: Al-Quran itu diturunkan pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadan ke langit dunia secara sekaligus, kemudian diturunkan secara beransur-ansur.

 

Perjalanan Al-Quran menemui manusia secara beransur-ansur tentunya mempunyai hikmah dan rahsia disebaliknya. Allah, selaku Tuhan yang memiliki keluasan ilmu yang cukup misteri dan mustahil untuk diterokai oleh manusia, telah mengaturkan segalanya dengan cukup sempurna menurut kehendakNya.

 

Dan Al Qur’an itu telah Kami turunkan secara beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian. Surah Al-Isra’, ayat 106.

 

Itu dalil Qurannya. Dan peristiwa ini berlangsung selama 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari, bermula dari 17 Ramadan Tahun 610 Masehi hinggalah wakyu terakhir tiba untuk melengkapkan Al-Quran pada 9 Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah.

Written by admin in: Uncategorized |
Nov
16
2008
0

AL-QURAN : PEMBACAAN YANG MAMPU MENYENTUH PERASAAN

 

Apabila kita mula menelusuri Al-Quran lebih jauh terutama surah – surahnya, bermula dengan Surah Al – Baqarah yang panjang, ia akan beransur - ansur bertambah pendek, dan tekanan serta lenggok gaya bahasanya mulai berubah. Kita juga akan melihat kepelbagaian irama, aturan serta nada Al-Quran, dan semakin banyak tekanan ayatnya menyeru perlahan - lahan untuk kita lebih mendekati dan mengenali Allah. Ia membawa kita kepada satu pengalaman, iaitu kita menjadi lebih bersemangat untuk membaca dan menatapnya. Ini merupakan keajaiban, rasa syok, dan perasaan terpanggil untuk terus berdamping dengan Al-Quran, pengalaman yang hanya mampu dikecapi untuk mereka yang benar benar ingin mengenalinya. Saya merasakan, seolah – olahnya Tuhan, melalui Al-Quran mendesak pembacanya “ ucapkan sahaja kalimah ini, pasti Aku akan datang kepadamu dan memudahkanmu, dan pasti hatimu akan merasakan kedamaian.

 

Apa yang saya ceritakan di atas  disahkan sendiri oleh golongan yang pertama kali menerima Al-Quran iaitu bangsa arab. Ketika mereka mendengarkan ayat - ayat dalam bahasa mereka sendiri, gaya bahasanya  terasa begitu indah, begitu agung dan begitu kuat sehinggakan, seperti yang diungkapkan Al-Quran, orang kafir pun mengakui bahawa  Al-Quran memiliki kekuatan sakti seperti sihir mantera yang mampu men’tercengang’kan minda.

 

….. (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: “Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata.”(Yunus,2)

 

Kebanyakan kita juga membaca Al-Quran  secara perlahan - lahan, berirama dan terkawal, tetapi apabila mendengar bacaan sesetengah imam berketurunan arab, kita dapat merasakan mereka melepaskan bacaan ayat tersebut dari dalam hatinya. Melalui lenggok suara juga, mereka menekankan ayat yang mengandungi permohonan dengan alunan  yang kuat, seolah – olahnya rayuan itu dinyatakan sendiri di hadapan Tuhan secara langsung.  Maka, ulama menyatakan, antara unsur yang paling memikat dari Al-Quran adalah gaya bahasanya, kerana gaya bahasa tersebut membuatkan pembacanya benar - benar merasa bahawa dia adalah peserta aktif di dalam wahyu Ilahi. Saya pasti bahawa sesetengah dari anda pernah mengalami pengalaman ‘goyangan badan’ mengikut lenggok irama bacaan Al-Quran ketika sedang membaca atau mendengarnya. Gabungan antara nada alunan, nilai – nilai luhur dan kebijaksanaan ini mampu membuatkan seseorang terpesona sehingga sampai kepada satu tahap yang digambarkan Al-Quran :

 

…… Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud. Surah Al-Isra’,107.

 

Soalannya, bagaimana kita mampu mengecap pengalaman ini?  Bagaimana Al-Quran mampu menyentuh jiwa melalui unsur bunyian? Jawapannya akan anda temui apabila anda sudah bersedia memposisikan kembali Al-Quran sebagai ‘manual hidup’ anda.

Written by admin in: Uncategorized |
Nov
16
2008
0

FAKTA ANGKA DAN NOMBOR MENGENAI AL-QURAN

 

Seterusnya, kita akan mula bermain dengan fakta angka dan nombor mengenai Al-Quran, di mana susunan ayat dan teksnya berasal dari 28 huruf Hija’iyah (huruf Alif hingga Ya’), terkandung didalamnya :

 

Sebanyak 114 surah yang berbeza panjang dan pendeknya. Anda boleh saja menganggap ia seperti 114 ‘surat’ yang berlainan tajuk dan cerita. Ia dimulai dengan Surah Al-Fatihah, yang bermakna ‘pembukaan’, surah yang kita ulangi sekurang-kurangnya 17 kali ketika solat, dan kemudiannya diikuti dengan surah terpanjang iaitu Surah Al-Baqarah sebanyak 286 ayat. Manakala surah terpendek ialah surah Al-Kausar dengan 3 ayat sahaja. Al-Quran akan diakhiri dengan Surah An-Naas di penghujungnya. Kesemua surah ini akan dibahagi-bahagikan di dalam 30 juzu’ (bahagian). Setiap juzu’ pula dipecahkan lagi kepada 2 ‘hizb’, dan setiap hizib dibahagikan lagi kepada 4 ‘rubu’. Ini bermakna, terdapat 8 rubu’ didalam satu juzu’. Bahkan, ada sesetengahnya yang mengenali rubu’ ini dengan gelaran ‘maqra’.

 

Jika diperhatikan, pembahagian 30 juzu’ ini sebenarnya akan memudahkan anda jika anda ingin membaca Al-Quran secara berkala dan sistematik. Contohnya, jika anda membaca sebanyak 1 rubu’ sehari, bermakna anda akan dapat melazimkan diri menghabiskan 1 juzu’ bacaaan dalam 8 hari. Dan jika ia dibiasakan setiap hari, anda sebenarnya akan membaca 4 juzu’ dalam masa sebulan (32 hari). Ini juga boleh membawa kepada perkiraan seterusnya iaitu, anda dengan mudah meng’khatam’kan keseluruhan Al-Quran dalam masa 8 bulan sahaja.

 

Al-Quran juga mengandungi 6,236 ayat, bukannya 6666 ayat seperti yang didakwa sesetengah pihak. Anda boleh mengiranya sendiri untuk menambah kepastian anda. Ayat pertama mula ‘menjejak bumi’ – disampaikan kepada Nabi Muhammad pada malam 17 Ramadan, dengan ayat Iqra’ (perintah untuk membaca) sebagai permulaan, ketika baginda berumur 40 tahun. Peristiwa agung ini berlangsung di Gua Hira’, Bukit Tsur, Mekah. Sementara ayat terakhir diturunkan ialah ayat 281 dalam Surah Al-Baqarah, dianugerahkan Malaikat Jibril kira – kira 9 hari sebelum Rasulullah wafat (mengikut pendapat Imam Suyuti).

 

Keseluruhan ayat Al-Quran disampaikan beransur-ansur oleh Malaikat Jibril kepada Nabi selama 23 tahun, atau lebih tepatnya 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari. Dan ia  telah dihafaz oleh ribuan sahabat, ditulis pada lembaran-lembaran, sebelum dikumpulkan secara rasmi oleh Saidina Abu Bakar, dan dilanjutkan oleh Saidina Uthman, Khalifah Islam ketiga sehinggalah kekal kepada kita hingga ke hari ini dengan jolokan ‘Mashaf Uthmani’.

Written by admin in: Uncategorized |
Nov
15
2008
0

MARI KENALI FIZIKAL AL-QURAN

 

 

Saya amat suka untuk menyatakan bahawa cara awal bagi seseorang merasa dihubungkan dengan Tuhan ialah dengan membaca, melafazkan atau mendengar orang lain membaca Al-Quran. Maka saya kira, sebelum kita pergi jauh mendalam dan menyelongkar ‘isi hati’ dan segala macam rahsia kehebatan Al-Quran, adalah lebih baik kita mulai dengan mengenali keadaan fizikalnya. Dalam hal ini, saya akan mencuba sederhana mungkin untuk memperlihatkan betapa kemas dan halusnya setiap ayat Al-Quran telah disusun dan diatur secara ilmiah, sehingga ia menjadi satu susunan teks  yang digelar sebagai ‘kitab suci’ – suci dari penyelewengan, penambahan, pengurangan mahupun pertukaran. Bahkan susunan ayat Al-Quran adalah susunan yang paling rapi dan sempurna kerana Allah sendiri menyatakan :

 

Alif Lam Ra, Ini adalah suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi dan terperinci, yang diturunkan dari sisi yang Maha Bijaksana dan Maha Tahu – Surah Huud,1

 

 

NAMA GELARAN LAIN BAGI AL-QURAN

 

Perkara pertama yang paling membuatkan Al-Quran begitu istimewa ialah nama gelarannya yang begitu banyak dan pelbagai. Saya yakin, kita hanya mengenali nama ‘formal’ Al-Quran sebagai ‘Al-Quran’ sahaja, tetapi tahukah anda, ia memiliki beberapa nama lain? Antara yang terkenal ialah Al-Furqan (pemisah antara hak dan batil), Al-Kitab (yang tertulis), Al-Zikr (peringatan), Al-Hikmah (Kebijaksanaan), Al-Syifa’ (penawar), Al-Huda (petunjuk), Al-Burhan (keterangan) dan Al-Tanzil (wahyu yang diturunkan). Ternyata, banyaknya nama lain yang disandang oleh Al-Quran menunjukkan kepada kita akan seribu satu keistimewaannya. Bukankah nama Allah juga begitu pelbagai, 99 Asmaul Husna kesemuanya?

 

Ini sebenarnya telah meletakkan Al-Quran ditempat yang tersendiri, melebihi dari Taurat, Zabur dan Injil. Kedudukannya yang asli, baik dari segi makhraj, huruf, baris dan tajwidnya masih kekal sama seperti yang pernah dituturkan Baginda Rasulullah, kerana proses pengekalannya juga berjalan dengan begitu istimewa, iaitu secara Mutawatir. Tahukah anda bagaimanakah proses itu berjalan ? Secara mudah, ia bermaksud satu proses penerimaan dan pengekalan, ditulis dan dihafaz oleh beribu juta orang yang mustahil akan bersepakat untuk berbuat dusta. Proses ini berlangsung sejak turun temurun dan akan berkekalan hingga akhir zaman.

Written by admin in: Uncategorized |
Nov
15
2008
0

Lagi persoalan!!

Ada dua kemusykilan.

1. Selain dari menghafaz, adakah terdapat cara lain bagi Allah menjaga Al-Quran?

2. Memang kita mempercayai Al -Quran adalah asli, tetapi adakah ia akan tetap tidak berubah hingga hari kiamat?

 

Wah, soalan pertama ini paling pintar. Saya merasa tidak sabar untuk memberitahu bahawa kita semua sedang terlibat dalam menjaganya. Sebenarnya, kita memang ditakdirkan untuk ‘bersatu’ bersama Al-Quran. Lihat sahaja di sekeliling anda. Anda akan dapati hampir kesemua buku, tulisan, rencana dan jurnal yang mengalir di dalamnya kebijaksanaan manusia akan mengutip ‘kebijaksanaan Tuhan’ atau ayat Al-Quran sebagai  hujah pengesahan. Dan fakta berikutnya, walaupun muncul dari tekaan saya, tetapi rasanya anda sendiri akan bersetuju.  Dipercayai bahawa kitab yang paling banyak dikaji oleh manusia ialah Al-Quran, sehingga lahir darinya puluhan malah ratusan kitab tafsir, ribuan buku ilmiah, ratusan ribu rencana dan jurnal, hanya untuk memperihalkannya sahaja. Perkara ini tidak berhenti setakat itu. Walaupun ia telah berjuta kali dibicarakan, setiap tahun anda akan dapati ribuan buku akan dicetak hanya untuk membahaskan penafsiran ayat, dengan input dan dapatan baru. Dan ini, seperti kata para bijaksana : Tip of the iceberg – cebisan kecil dari ketulan yang sangat besar.

 

Ini baru separuh dari cara Allah memelihara Al-Quran. Separuh lagi dijalankan oleh manusia ajaib, membuat perkara mustahil menjadi tidak begitu mustahil. Setiap perkara berkaitan Al-Quran akan dibincangkan, hatta sehingga barisnya dibicarakan manusia, dan ratusan kitab  dicetak hanya untuk membicarakan panjang pendek ketika membacanya sahaja! Ada juga lebih hebat : menghasilkan Quran yang terbesar dan terkecil didunia. Agak memeranjatkan bukan. Jika anda menganggap pahala merupakan motivasi mereka, anda hanya setengah betul, kerana pahala merupakan sesuatu yang faedahnya tidak datang segera di dunia ini. Tentu ada faedah lain iaitu perasaan bertuah memiliki Al-Quran dan rasa bangga kerana nama mereka telah diabadikan dengan usaha meneroka Al-Quran. Abraham Maslow, mahaguru psikologi humanistik menyebutnya sebagai ’Self Actualization’. Atau bahasa mudahnya ’ingin menjadi seperti yang diingini’. Dan saya kira, apabila sesuatu sehebat ini dibentangkan kepada anda, saya tidak nampak bagaimana anda patut melepaskan peluang tersebut.

 

Sementara soalan kedua, saya hanya boleh katakan, kita selaku manusia yang mempunyai kekuatan cukup terbatas, tidak mampu memberikan jawaban dan jaminan. Kita akan terdiam. Dan mungkin tidak semua perkara harus dijelaskan. Ada saatnya lebih baik kita menyerahkan diri kepada ‘ilmu’ Tuhan. Bukankah Tuhan selalu menjalankan kerjanya dengan penuh misteri? Dan saya tetap berpegang kepada kebenaran ‘kebijaksanaan’ ini : Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janjinya.- Surah Ali-Imran, 9.

 

Kita akan merasa lebih tenteram kerana Allah, Tuhan yang Maha memegang komitmen, punya kuasa yang tidak terbatas dalam melaksanakan janjinya untuk tetap memelihara keaslian Al-Quran hingga hari kiamat. Andai jika Dia kehendaki, kuasa tersebut akan dijelmakan melalui 2 huruf sahaja : huruf Kaf dan Nun. Perintah KUN yang bermaksud Jadilah!. Maka semuanya akan terlaksana.

 

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia. Surah Yasin, ayat 82

 

Dan yang paling kita perlukan ialah iman dan keyakinan yang sentiasa panjang daya hidupnya. Iman yang melahirkan manusia suci. Manusia sejati yang tubuhnya menapak di bumi, tetapi ruhnya ‘bergantung’ ke Arasy Tuhan. Malah, saya tetap yakin, selagi bumi yang kita diami ini tidak berhenti berputar, selagi itulah Al-Quran akan terus wujud mencorakkan kehidupan manusia.

Written by admin in: Uncategorized |

Powered by WordPress | Aeros Theme | TheBuckmaker.com WordPress Themes